Popular Posts

Tuesday, February 15, 2011

Aksi ghairah melampau poster filem 'Cinta Yang Satu' dikesali

Poster filem itu, menampilkan dua pelakon utama Zul Huzaimy yang seolah-olah tidak berbaju memeluk dari belakang pelakon wanita Siti Elizad yang seolah-olah berkemban.
Pengarah DACS, Mohd Firdaus Jaffar ketika dihubungi berkata, banyak aksi lain yang boleh digunakan dan kenapa aksi menghairahkan seperti itu dipilih.
"Apa yang dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam dunia hiburan sudah banyak menyimpang jauh dari tuntutan agama, tuntutan rukun negara terakhir kita abaikan 'Kesopanan dan Kesusilaan',"tegas beliau.
Apa yang dikesalkan, Firdaus berkata, budaya hidup rakyat Malaysia hari ini sudah melampau terutamanya artis berbangsa Melayu dan mengaku beragama Islam sudah semakin jauh dari tuntutan agama Islam sedangkan mereka menjadi idola dan ikutan peminatnya.
Tegasnya, tindakan mempamerkan poster aksi menghairahkan adalah untuk meraih sokongan penonton dan mahu menimbulkan kontroversi kerana mereka tahu daripada cara inilah dapat menarik minat penonton.
Beliau juga bimbang, lebih banyak poster seperti ini dipamerkan akan menjadi kebiasaan kepada masyarakat seterusnya memandang remeh walaupun perbuatan itu ditegah dalam Islam.
"Bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa', masyarakat tidak lagi memandang serius jika ada banyak poster atau aksi sedemikian di depan mereka," katanya.
Katanya, jika betul poster aksi itu akan dipamerkan di seluruh negara, beliau berkata pihaknya akan menghantarkan memorandum bantahan kepada pihak terbabit.
Justeru, beliau juga menasihatkan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berfikir semula program-program hiburan yang dibuat supaya budaya dan asas orang Melayu yang sebenar tidak diketepikan.
Penerbit filem itu, Wan Noraini Wan Noh dalam akhbar baru-baru ini berkata, bukan niatnya untuk menimbulkan kontroversi dengan memilih aksi begitu sebaliknya sebagai tarikan kepada penonton untuk menyaksikan apa sebenarnya yang tersirat dalam filem itu. - mks.

No comments:

Post a Comment